Pages

Friday, March 11, 2011

Kempen Anti Saman Ekor...... Info Tahap Gaban

FAKTA PASAL SAMAN EKOR




Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat
Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi
Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia
tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua
warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak
rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan
Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut
undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi
mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada
pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah
melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan
sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta
alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai
jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga
sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta.
Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai
jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh
digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta
(kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan
undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan
hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang
memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh
digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik
kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang
lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah
diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama
Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ
Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah
memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa
tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui
cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ
di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut
tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam
kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan
Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi
kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat
menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan
pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui
cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh
Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan
hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman
sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini
tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau
denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH
SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA
MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu
peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga
mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.
Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah
dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah
diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap
saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan
OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan
tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS
tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap
suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu
OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku
maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka
selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan
dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati
salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda.
Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann
itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana
saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang
dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi
sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang
dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran
kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia
dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau
dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan
maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.
Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya
hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju.
Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku.
Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul
apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar
kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda
tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh
Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan
peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang
diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu
hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah
terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA
SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN.
Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi
termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa
seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat
representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah
seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu
hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman.
Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu
betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak
maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ
hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua
Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari
kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas
pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang
sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan
bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh
menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan
kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan
kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor
(KASE)

dipinjam entry dari ehem-ehem

No comments:

Post a Comment